Sebuah keluarga berdepan risiko akibat tanah runtuh

Kelihatan kesan tanah runtuh yang menjejaskan sebuah rumah.
Advertisement

Oleh Dean Adam

SERIAN, Dis 16: Sebuah keluarga di Kampung Tepoi di sini berdepan ancaman kejadian tanah runtuh, hari ini.

Insiden tanah runtuh itu dipercayai berpunca daripada hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu.

Advertisement

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 7.50 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi susulan.

“Apabila tiba, anggota APM mendapati terdapat kejadian tanah runtuh sehingga mengakibatkan tebing tanah belakang rumah, rumah kayu api, dan pagar rumah milik sebuah keluarga terjejas.

“Selain itu, kejadian sama juga mengakibatkan bahagian lantai simen luar di rumah keluarga tersebut turut retak,” katanya di sini hari ini.

Kelihatan kesan tanah runtuh yang menjejaskan sebuah rumah.

Jurucakap sama menambah, pemeriksaan lanjut mendapati kawasan rumah pengadu berada berhampiran kawasan tebing sungai.

Katanya, insiden sama tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

“Operasi tamat sepenuhnya selepas pasukan APM memastikan keadaan keselamatan keluarga terbabit.

“Ahli keluarga tersebut juga dinasihatkan agar segera bertindak untuk berpindah sekiranya keadaan semakin membahayakan,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement