Oleh Chris Bishop
KUCHING, 21 Julai: Sebanyak 683 tangkapan berkaitan dadah telah direkodkan pada bulan Jun lepas, kata Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden.
Membentangkan laporan berkala ‘One-Stop Committee’ (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS), beliau berkata jumlah tersebut meningkat 12.5 peratus jika dibandingkan dengan bulan Mei, iaitu 607 tangkapan.
“Sepanjang bulan Jun 2021, sebanyak 564 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Kastam dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak.
“Hasil operasi tersebut, sebanyak 683 tangkapan telah direkodkan dengan 77 adalah melibatkan pengedaran, 173 memiliki dadah dan substance manakala 433 adalah individu yang disaring positif dadah,” katanya dalam satu sidang media dalam talian melalui Zoom hari ini.
Melalui operasi tersebut, tambah Francis, sebanyak 23.3kg dadah dan bahan (‘substance’) berbentuk mampat dan 1,072 berbentuk pil telah dirampas oleh JSJN dan Jabatan Kastam dengan anggaran nilai berjumlah RM514,000.
Jelas beliau, rampasan dadah ini mampu menyekat sebanyak 23,837 kali penggunaan dadah dan bahan terlarang.
Katanya, ini juga menyelamatkan 5,959 individu bagi tempoh sebulan di Sarawak.
“Hasil tangkapan dan rampasan tersebut, kita dapat menyekat penawaran serta menyekat permintaan terhadap dadah dan substance di Sarawak.
“Sekatan terhadap penawaran dan permintaan dadah dan substance adalah dua strategi utama dalam rantaian Pelan Tindakan MIDS OSC Sarawak,” kata Francis. — DayakDaily