Hala tuju Sarawak ditentukan oleh rakyat Sarawak sendiri, kata Awang Tengah

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

KUCHING, 21 Julai: Hari Sarawak pada tarikh 22 Julai harus dihayati oleh generasi baru agar semua sedar betapa hala tuju Sarawak hanya ditentukan oleh rakyat Sarawak itu sendiri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penghayatan tarikh ini bukan hanya sekadar satu sejarah kepada rakyat Sarawak.

“Dalam usaha kita menuju ke arah status negeri maju menjelang 2030, kita harus sedar cabaran yang digalas bukanlah tugas yang mudah.


“Justeru dalam memastikan misi ini tercapai, kita haruslah bersatu untuk mempertingkatkan keupayaan kita dari segi ekonomi dan melahirkan modal insan yang berkemahiran untuk memacu Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya pada ucapan bersempena Hari Sarawak 2021.

Awang Tengah menyeru seluruh rakyat negeri ini untuk terus bersatu padu tanpa mengira pegangan agama, bangsa, budaya dan latar belakang yang berbeza.

Katanya, ia penting untuk menentukan negeri Sarawak akan terus menikmati kestabilan politik, aman, sejahtera dan maju jaya.

Mengimbau kembali sejarah, beliau berkata 22 Julai merupakan satu tarikh keramat kepada rakyat Sarawak apabila akhirnya bebas dari belenggu penjajahan Inggeris.

“Pada tarikh tersebut, kita telah berjaya mendapatkan taraf berkerajaan sendiri yang jelas menunjukkan usaha untuk mencapai kemerdekaan negeri kita dengan pembentukkan kabinet pertama negeri Sarawak pada 22 Julai 1963,” ujar Awang Tengah.

Kabinet pertama ini telah diketuai oleh Tan Sri Stephen Kalong Ningkan sebagai ketua menteri dan turut dianggotai oleh jemaah menteri yang terdiri daripada pelbagai kaum yang merupakan anak jati Sarawak. — DayakDaily