Sebanyak 3,061 unit MPKKP Sarawak dilancar Mac 2020

Chong (duduk empat kiri) bersama pemimpin-pemimpin PH Sarawak yang lain pada sidang media di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Jan: Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) Sarawak akan dilancarkan pada bulan Mac 2020.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen, berkata sebanyak 3,061 unit MPKKP telah dikenalpasti untuk dilancarkan pada waktu itu nanti.


“Kita menubuhkan unit untuk kerajaan persekutuan memanjang dan menyampaikan program-program, peruntukan serta bantuan khusus untuk penduduk di luar bandar.

“Ia adalah di bawah kementerian pembangunan luar bandar dan kementerian lain juga boleh menggunakan saluran tersebut,” katanya pada sidang media setelah mempengerusikan mesyuarat pertama PH Sarawak bagi tahun 2020 di ibu pejabat DAP Sarawak di sini, hari ini.

Chong, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, menegaskan bahawa MPKKP tidak akan menggantikan peranan tuai rumah dan ketua kampung.

Katanya, tuai rumah dan ketua kampung kekal menjalankan tugas seperti biasa.

“Penubuhan MPKKP ini tidak menyalahi perlembagaan seperti mana didakwa Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Kita hanya melantik pegawai di setiap unit untuk menguruskan program-program, peruntukkan dan bantuan yang disalurkan setiap kementerian di bawah kerajaan persekutuan,” ujar beliau.

Turut hadir pengerusi PKR Sarawak, yang juga Menteri Kerja Raya, Baru Bian. — DayakDaily