Sebanyak 183 permit dikeluar pada APOC 13 di Kuching

Kelihatan pusat sehenti untuk permudah urusan pelanggan mendapatkan permit dan sijil sepanjang APOC 13.

KUCHING, Julai 29: Sebanyak 183 permit telah dikeluarkan oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS) sepanjang Persidangan Orkid Asia Pasifik Ke-13(APOC 13) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching(BCCK) bermula Julai 24 sehingga 28.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 92 permit untuk mengekspot orkid dan sebanyak 91 lagi adalah permit ‘Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES)’.

APOC 13 juga menyaksikan sejumlah 89 keping sijil Fitosanitasi telah dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Sarawak (JPS).


Menurut Pegawai Hidupan Liar JHS, Dayang Nuriza Abang Abdillah, sebelum APOC13 banyak negara telah memohon lesen untuk mengekspot orkid bertujuan untuk membawa masuk orkid tersebut dari negara masing-masing ke Kuching, Sarawak.

Beliau yang juga Ketua Unit Permit dan Lesen Hidupan Liar Bahagian Pemeliharaan dan Perwartaan Alam Sekitar menambah setiap pelanggan yang membeli orkid semasa APOC 13 dan membawa orkid tersebut keluar Sarawak hendaklah memohon lesen untuk mengekspot orkid.

“Manakala jika ingin membawa orkid tersebut ke negara lain, mereka perlulah memohon permit CITES dan lesen untuk mengekspot orkid.

“Selain itu juga mereka perlulah memohon Sijil Fitosanitasi di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 dan Peraturan–Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981,” katanya menerusi siaran media JHS hari ini.

Antara pelanggan yang mendapatkan permit dan sijil sepanjang APOC 13 daripada JHS dan JPS.

Bagi memudahkan pelanggan mendapatkan permit dan sijil sepanjang APOC 13, JHS dan JPS telah membuka kaunter sehenti dimana telah menerima permohonan dari pelbagai negara seperti Indonesia, Singapura, Papua New Guinea, Thailand, Ecuador dan pelbagai negara lain.

Tambah Nuriza, orkid adalah merupakan tumbuhan terlindung dibawah Ordinan Hidupan Liar 1998 dan sesiapa yang memiliki orkid bolehlah memohon lesen untuk memiliki orkid dari Kontroler Hidupan Liar.

Permohonan tersebut boleh dibuat di Ibu Pejabat JHS atau di pejabat-pejabat hutan wilayah.

Sepanjang APOC 13, Timbalan Kontroler Hidupan Liar Sarawak, Engkamat Lading turut membentangkan kertas kerja berkaitan CITES dan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998. — DayakDaily