Sebahagian seksyen jalan di Km 0.3 Jalan Kuching-Bau ditutup

Peta lokasi penutupan jalan.

KUCHING, 17 Julai: Sebahagian seksyen jalan di Km 0.3 Jalan Kuching-Bau berdekatan persimpangan lampu isyarat Jalan Kampung Haji Baki, Kuching ditutup kepada semua laluan trafik.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kuching menerusi satu notis berkata, ia untuk keselamatan pengguna jalan raya dan kerja-kerja membaiki keruntuhan jalan ini yang berlaku lewat malam tadi.

Justeru, pengguna-pengguna jalan raya digalakkan untuk menggunakan laluan-laluan alternatif bersesuaian yang sedia ada.


Dalam pada itu, lencongan jalan sementara telah disediakan di lokasi kejadian dalam tempoh perlaksanaan kerja-kerja pembaikan ini.

“Pengguna-pengguna jalanraya diminta berhati-hati semasa memandu di kawasan ini dan mematuhi segala pengurusan trafik untuk keselamatan semua,” menurut notis itu.

Antara laluan-laluan alternatif utama yang sedia ada selain daripada lencongan jalan adalah  Jalan Datuk Stephen Yong ke Jalan Tan Sri Datuk Amar Wee Boon Ping dan seterusnya ke Jalan Datuk Amar Kalong Ningkan.

Jalan Datuk Stephen Yong terus ke Jalan Batu Kawa, Jalan Kampung Haji Baki  ke Kampung Semaba dan terus ke Jalan Datuk Stephen Yong.

Laluan alternatif lain ialah Jalan Kuching–Serian  ke Jalan Datuk Amar Kalong Ningkan. — DayakDaily