SCCS bercadang menaja sebahagian kerja menaiktaraf kemudahan hospital di Kuching, Sibu

Dr Ong (tiga dari kanan) memotong rambut peserta acara Go Bald 2019 di pusat beli belah Vivacity Megamall.

KUCHING, Mei 26: Pertubuhan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS) bercadang menaja sebahagian kerja menaiktaraf kemudahan hospital di Kuching dan Sibu tahun ini.

Naib Presiden SCCS, Dr Ong Eng Joe berkata demikian dengan penajaan tersebut dari hasil kutipan sumbangan derma acara Go Bald 2019 yang juga kali ke-11 dianjurkan pertubuhan itu tahun ini.

“Bagi 2019, SCCS akan menaja sebahagian kerja menaiktaraf untuk menambahbaik kemudahan hospital di Kuching dan Sibu,” katanya ketika merasmikan Go Bald 2019 di pusat membeli belah Vivacity Megamall, di sini, hari ini.


Acara itu menyaksikan seramai lapan orang ramai termasuk ahli keluarga pesakit kanser kanak-kanak yang terselamat membotakkan kepala mereka bagi membantu mengutip sumbangan derma untuk pertubuhan itu.

Dr Ong bagaimanapun tidak mendedahkan butiran penajaan terbabit tetapi berkata sebahagian lagi hasil kutipan sumbangan derma acara itu akan digunakan bagi menampung kos menyediakan khidmat sokongan kaunseling, bantuan bulanan kewangan, bantuan perubatan dan penginapan bagi pesakit yang datang dari jauh.

Selain itu sumbangan derma dikutip dari acara itu juga akan digunakan bagi membangunkan program untuk keperluan semakin ramai pesakit kanser kanak-kanak yang terselamat dan juga bagi membantu penyelidikan mengenai kanser kanak-kanak terutamanya di Sarawak.

“Setiap tahun, purata sebanyak 70 kes baru kanak-kanak yang dirawat kerana kanser di Sarawak,” katanya.

Beliau sehubungan itu mendedahkan SCCS sejak penubuhannya telah memberi khidmat sokongan kepada lebih 1,300 keluarga kanak-kanak penghidap kanser di Sarawak.

Manakala setiap tahun SCCS memberikan khidmat sokongan kepada sebanyak 200 keluarga terbabit dengan perbelanjaan tahunan sebanyak RM1.5 juta.

“Dengan perbelanjaan tahunan sekitar RM1.5 juta, kami tidak akan mampu melakukan semua ini tanpa sokongan yang kami terima dari orang ramai, pihak koperat dan kerajaan,” katanya, yang juga berharap orang ramai, pihak koperat dan kerajaan terus menyokong acara Go Bald 2019. ā€” DayakDaily