KUCHING: Sayap pemuda Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB Sarawak Ranger) menyifatkan kerajaan negeri Sarawak sebagai tidak telus dalam melaksanakan kuasa autonomi negeri, malah, lebih bersifat autonomi politik.
Melalui satu kenyataan media, Ketua Pemuda PBDSB Rapelson Richard Hamit menyelar Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta parti komponen Barisan Nasional negeri sebagai memilih bulu.
“Nampak sangat Abang Jo dan kepimpinan Barisan Nasional negeri ini pengecut dan memilih bulu. Sebelum ini ramai ketua-ketua Pakatan Harapan yang dihalang memasuki Sarawak termasuk (naib presiden PKR) Tian Chua, (naib presiden PKR) Rafizi (Ramli), (MP Petaling Jaya Utara) Tony Pua dan baru-baru ini (MP Ampang) Puan Zuraida (Kamaruddin) “, kata Rapelson.
“Tapi kali ini ‘towkay lama’ datang tak pula dihalang. Janganlah main pilih bulu. Kita semua ni rakyat Malaysia. Lebih bagus Jabatan Imigresen memperketatkan kawalan terhadap aspek keselamatan”, jelas Rapelson.
Rapelson menambah, walaupun mempunyai pandangan politik yang berbeza dengan Pakatan Harapan (PH), namun pihak PBDSB merasakan penindasan kuasa autonomi terhadap ketua-ketua PH yang lain haruslah tidak disalahguna oleh kerajaan negeri Sarawak.
“Kita mahu kuasa autonomi Imigresen dikekalkan dan tidak salah mereka (pemimpin Malaya) dibenarkan ke Sarawak dengan mengunakan cara yang betul (masuk dengan mengunakan pass)” tambah Rapelson lagi
“Kita hendak melihat ketelusan Abang Jo melaksanakan kuasa autonomi dan bukannya tunduk kepada Tun Mahathir (Mohamad). Apakah ini angin perubahan BN negeri menyokong PH?”, ujar Rapelson.
Semalam ceramah yang dianjurkan PH di BDC Everise mendapat sambutan hanggat dan dihadiri ribuan pelosok masyarakat