Satu lagi cubaan seludup Pati digagalkan di Lundu

Pati yang ditahan untuk siasatan lanjut.
Advertisement

LUNDU,28 Jun: Seorang lelaki tempatan ditangkap selepas disyaki cuba menyeludup lima Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) di Biawak, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin berkata suspek ‘tekong darat’ berusia 57 tahun itu ditangkap memandu sebuah van dengan membawa empat lelaki dan seorang wanita warga Indonesia.

Jelasnya, mereka ditahan dalam satu operasi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalankan Op Awas, Op Parang dan Op Kerangka pada jam 10.30 pagi.

Advertisement

“ATM telah menahan sebuah van yang dipandu seorang lelaki warga tempatan dan hasil pemeriksaan mendapati lima penumpangnya merupakan warga Indonesia.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua warga Indonesia terbabit hanya memiliki dokumen perjalanan yang telah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua Pati yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 44 tahun itu mendakwa mereka bekerja dari pelbagai sektor perkilangan di Sibu dan dalam perjalanan pulang ke Indonesia.

Kesemua Pati dan tekong darat terbabit kemudian dibawa ke Hospital Lundu untuk calitan Covid-19 dan telah disahkan negatif.

Susulan itu, kesemua mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk ditahan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah sebuah van, telefon bimbit, wang tunai RM8,020 dan sejumlah matawang asing (rupiah).

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. — DayakDaily

Advertisement