SARAWAKfm mengadakan rakaman rancangan Sesuci Lebaran 2018

Faridah Sulong (kanan) menyampaikan sumbangan makanan dan duit raya kepada antara 20 golongan asnaf di acara rakaman rancangan Sesuci Lebaran 2018.

KOTA SAMARAHAN, Jun 6: Stesen radio SARAWAKfm bersama Jabatan Mufti Negeri Sarawak telah mengadakan rakaman rancangan Sesuci Lebaran 2018 bagi disiarkan ketika perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang di pusat beli belah Summer Mall, di sini, hari ini.

Rakaman rancangan terbabit bermula jam 5 petang juga dihadiri Pemangku Pengarah Penyiaran Kawasan Sarawak, Faridah Sulong dan antara segmen dimuatkan ialah bual bicara bagi mengupas tajuk “Adap sopan menyambut Hari Raya Aidilfitri” bersama Ustaz Zambri Shah dan Ustaz Syarifuddin dari Jabatan Mufti Negeri Sarawak disamping persembahan kumpulan ‘buskers’ iaitu Ritma Band, dan sketsa Raya oleh Cot dan Meran.

Ini termasuk menjaga adab berbelanja dengan tidak terlalu banyak membeli baju raya baharu, menjaga adab menziarahi rumah kenalan dengan berbual dengan orang sekeliling dan tidak hanya melihat telefon pintar, mandi dan makan buah kurma sebelum sembahyang raya dan tidak meletakkan kenderaan sebarangan sehingga menyusahkan jiran rakan yang diziarahi.


Ini diikuti acara penyerahan sumbangan barangan makanan dan duit raya kepada seramai 20 orang golongan asnaf dan rakaman rancangan itu berakhir dengan majlis berbuka puasa.

Sesuci Lebaran berkonsepkan rancangan pentas bual bicara yang berkisar kepada adab dan sopan ketika menyambut Aidilfitri yang menampilkan moderator dan tetamu dari Jabatan Mufti Negeri Sarawak serta juga diselang selikan dengan lagu nasyid daripada artis jemputan.

Ini merupakan salah satu inisiatif SARAWAKfm untuk mengajak pendengar radio mendekati dan memahami adab serta kesopanan umat Islam ketika menyambut perayaan Aidilfitri dan merupakan program tangungjawab sosial koperat (CSR) Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Juga turut menaja rancangan terbabit ialah Summer Mall, Butik Almas, Maestro Swiss (VICO), Miap Restaurant Sdn Bhd (McDonald’s Cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching), Dutch Lady Malaysia dan Petra Enterprise. — DayakDaily