Sarawak Youth StartUp angkat belia dalam keusahawanan

Abdul Karim (dua dari kanan) merasmikan Sarawak Youth StartUp di Kompleks Dewan Undangan Sarawak.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 13 Nov: Sarawak Youth StartUp satu program komprehensif jangka panjang dalam memperkasakan penglibatan belia dalam keusahawanan, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut Abdul Karim, ia juga mewujudkan satu ekosistem sokongan yang berterusan supaya perusahaan mereka berjaya, berkembang maju dan berdaya saing.

Advertisement

“Sasaran kita lebih kurang 300 orang peserta dari seluruh Sarawak akan mengikuti program pembangunan ini dalam setiap tahun.

“Segala perbelanjaan makan minum dan tempat penginapan akan disediakan oleh pihak Kementerian dan Kerajaan secara percuma,” katanya di Majlis Pelancaran Sarawak Youth StartUp di Kompleks Dewan Undangan Sarawak hari ini.

Tambah Abdul Karim, para peserta program akan mengikuti kursus komprehensif selama lapan hari dengan silibus lengkap berkaitan tentang ilmu asas keusahawan.

Kohort pertama akan mengikuti kursus intensif pada 7 hingga 14 Disember 2024 bertempat di Sarawak Sports Village di Kuching.

“Modul program ini dirangka khas dari peringat awal proses untuk menjadi seorang usahawan terutama dari segi keperluan perlesenan atau pendaftaran syarikat, persiapan kendiri atau peserta dalam membina keyakinan diri.

“Pengetahuan pengurusan kewangan dan pengauditan akaun, pengurusan sumber manusia, pentadbiran syarikat dan membuat perancangan dan analisis sumber.

“Membuat modul perniagaan, mengkaji risiko dan potensi pasaran, penjenamaan dan pembungkusan,” kata Abdul Karim. — DayakDaily

Advertisement