Oleh Muhammad Akmal Rizki
KUCHING, 10 MAC: Selepas kemenangan bergaya menjinakkan pasukan Harimau Selatan, JDT II pada minggu lepas, Sarawak United FC (SUFC) kini mengalih fokus kepada pertembungan menentang Selangor 2.
Satu lagi tugas berat perlu diharungi anak didik Elavarasan Elangowan apabila bertandang ke Stadium Cheras, Kuala Lumpur malam esok.
Bagi Pengurus Pasukan, Afiq Fikri Brahim, harapannya begitu tinggi agar pemain dapat mengekalkan momentum sama ketika membenam JDT II untuk melunas misi mencuri mata dari perlawanan itu.
“Memang menjadi harapan pasukan untuk mengutip mata dalam perlawanan malam esok dan sudah tentu kita mengharapkan aksi terbaik dari pemain menentang Selangor 2.
“Kemenangan terhadap JDT II minggu lepas diharap menyuntik semangat pasukan untuk memberikan aksi terbaik sepanjang 90 minit sekali gus memastikan misi membawa pulang mata dapat dicapai,” ujar Afiq ketika dihubungi hari ini.
Afiq dalam pada itu mengingatkan pemain agar tidak terlalu yakin dengan prestasi merudum Selangor 2 yang mencatat dua kekalahan berturut-turut sebelum ini.
Tegasnya, pasukan itu sudah tentu mahu bangkit dan tidak tidak akan memberi laluan mudah kepada anak-anak buahnya.
“Sudah semestinya Selangor inginkan kemenangan setelah dua kekalahan sebelum ini dan sudah pasti kita bakal berdepan dengan laluan sukar.
“Kita tidak boleh terlalu yakin dan harus melihat Selangor 2 sebagai lawan yang perlu diambil perhatian sepenuhnya,” jelas Afiq lagi. —DayakDaily