Sarawak United berduka, Kuching FA lega

Amri melepaskan tendangan sambil diperhatikan kapten Kuala Lumpur, Paulo Josue Sturmer dalam aksi Liga Premier 2020 di Stadium Sarawak, Petra Jaya.

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, 15 Mac: Kemasukan penyerang baru, Gabriel Miguel Guerra gagal membantu Sarawak United FC apabila mencatat kekalahan kedua berturut-turut dalam kempen Liga Premier 2020 malam tadi.

Pasukan kendalian Elavarasan Elangowan diaibkan Kuala Lumpur 1-2 dalam aksi berlangsung tanpa kehadiran penyokong di Stadium Sarawak, Petra Jaya.


Meskipun memiliki beberapa peluang terbaik untuk membuka jaringan pada babak pertama, namun ketumpulan jentera serangan Sarawak United menidakkan hasrat tuan rumah untuk mendahului.

Sebaliknya, Kuala Lumpur tampil dengan permainan lebih meyakinkan untuk mendahului pada minit ke-33 menerusi penyerang Abdul Azim Rahim.

Skrip sama berlaku pada babak kedua dengan Sarawak United kerap menggasak kubu Kuala Lumpur untuk mencari jaringan penyamaan namun sekali lagi dihampakan penyudah lemah.

Kapten Sarawak United, Amri Yahyah, kembali meletakkan kedudukan seimbang dengan meledak gol penyamaan pada minit ke-52.

Abdul Azim menjadi duri dalam daging tuan rumah dengan menjaringkan gol kedua dan kemenangan Kuala Lumpur pada minit ke-73.

“Kedua-dua pasukan memiliki peluang. Pasukan mana yang bijak memanfaat peluang akan beroleh kelebihan.

“Kita bermain dengan baik namun nasib tidak menyebelahi kita. Apapun kita akan fokus dengan perlawanan seterusnya,” komen Elavarasan selepas perlawanan tamat.

Pemain import Kuching FA, Yuta Suzuki dicabar pemain Pulau Pinang dalam aksi Liga Premier 2020 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Kuching FA menarik nafas lega selepas meraih mata pertama dengan mengikat Pulau Pinang tanpa jaringan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang malam tadi.

Dalam perlawanan itu, Kuching FA terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Sahran Abdul Samad dibuang padang pada minit ke-26.

“Kita bernasib baik kerana berjaya mengutip satu mata dari perlawanan ini meskipun terpaksa bermain dengan 10 pemain,” komen ketua jurulatih Kuching FA, Akira Higashiyama.

Saingan Liga Premier 2020 akan berehat selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) memutus untuk menangguhkan semua perlawanan Liga Malaysia kerana situasi wabak Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini.

Tarikh baru bagi perlawanan seterusnya akan diumumkan FAM dan MFL dalam masa terdekat.

Sarawak United akan menentang Perak II di Stadium Majlis Perbandaran Manjung manakala Kuching FC berdepan Selangor 2 di Stadium Sarawak, Petra Jaya. — DayakDaily