Sarawak United benam JDT II 4-1 untuk kemenangan pertama

Patrick Ronaldinho (kiri) meraikan jaringan pertamanya bersama Demerson dalam perlawanan Liga Premier 2020 menentang JDT II malam tadi. SUFC menang besar 4-1.
Advertisement

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, 8 Mac: Sarawak United FC (SUFC) mengutip tiga mata pertama dalam kempen Liga Premier 2020 selepas membenam Johor Darul Ta’zim (JDT II) 4-1 dalam aksi berlangsung di Stadium Sarawak, Petra Jaya, malam tadi.

SUFC yang tewas dalam aksi pertama minggu lepas bermula perlahan di awal 15 minit permainan dengan JDT II lebih banyak melakukan serangan.

Advertisement

Bagaimanapun, tuan rumah berjaya di depan hasil tandukan kemas Mohamad Alif Hassan pada minit ke-22 selepas menyambar umpanan tinggi dari S Chanturu.

Gol itu membangkitkan semangat pemain SUFC untuk terus mengasak kubu JDT II kendalian jurulatih dari Sepanyol, Rafael Francisco Gil Sanchez.

Minit ke-35, penyerang import SUFC dari Liberia, Patrick Ronaldinho menggamatkan Stadium Sarawak dengan menanduk masuk gol kedua pasukannya hasil sepakan tinggi dari Amri Yahyah.

Tuan rumah kian selesa selepas pemain pertahanan import, Demerson Bruno Costa menjaringkan gol ketiga pada minit ke-45 (+2) berpunca dari kelam kabut di hadapan gawang JDT II.

Penyerang SUFC dari Iran, Milad Zanidpour (kanan) melarikan bola sambil cuba dicabar kapten JDT II, Gary Steven Robbat.

Pelawat tampil lebih garang sebaik babak kedua bermula dengan mengasak kubu SUFC dari segenap sudut.

Usaha tanpa henti pasukan Harimau Selatan itu membuahkan hasil apabila Che Rashid Che Halim menjaringkan gol pada minit ke-71 untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Kedudukan itu tidak menggugat semangat anak didik Elavarasan Elangowan yang terus berusaha mencari gol tambahan.

Hasilnya, Patrick Ronaldinho sekali lagi mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-78 selepas menerima lorongan cantik dari Amri Yahyah.

“Tiga mata yang sangat penting untuk menaikkan semula semangat pemain.

“Kita tidak boleh terlalu yakin dengan kemenangan ini. Kita perlu fokus dengan perlawanan seterusnya. Itu yang paling penting,” komen Elavarasan ketika ditemuramah.

SUFC akan bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang menentang Selangor 2 pada 11 Mac depan. — DayakDaily

Advertisement