Sarawak tubuh syarikat keluar penuai Lipan — Abang Johari

Abang Johari melawat reruai di Program Pemindahan Teknologi Sawit di Kuching.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 Okt: Kerajaan Sarawak memutuskan untuk menubuhkan sebuah syarikat pengeluar jentera penuai buah kelapa sawit Lipan yang diperkenalkan pada minggu lepas.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jentera ciptaan Sarawak Plantation Berhad (SPB) merupakan satu teknologi baharu dalam penuaian buah sawit.

Advertisement

“Kita perlu mengeluarkan jentera tersebut dari peringkat kilang, yang juga akan sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap teknologinya.

“Asas teknologi sudah ada, kita hanya perlu perbaiki keberkesanan jentera penuai.

“Dan ini mesti diuruskan oleh sebuah syarikat,” kata Abang Johari ketika ditemui di majlis perasmian Program Pemindahan Teknologi Sawit di sini, hari ini.

Lipan telah diperkenalkan di ladang milik SPB di Subis, kira-kira sejam setengah perjalanan dari Miri pada Jumaat lepas.

Lipan mampu memotong 38 tandan dalam tempoh sejam atau 300 tandan dalam masa sehari.

Jentera ini mampu melakukan penuaian sehingga meliputi keluasan lima hektar sehari.

Tambah Abang Johari, syarikat tersebut akan diuruskan pihak pemain industri seperti SPB, Kerajaan Sarawak termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

“Jadi kita menjadi pengeluar utama dalam industri kelapa sawit di mana pemain-pemain industri boleh membeli jentera kita.

“Kerana kelapa sawit ini bukan sahaja di Malaysia, tetapi di Asia Tenggara seperti di Indonesia, jadi bermaknanya mesin penuai kita dipasarkan di peringkat global,” kata Abang Johari. — DayakDaily

Advertisement