KUCHING, MAC 28: Sarawak akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk melaksanakan penyaluran bantuan kepada rakyat melalui Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia selaras dengan arahan Muhyiddin supaya agihan untuk melaksanakan pakej dibuat oleh kerajaan negeri.
“Maka kita ada dua jawatankuasa di bawah setiausaha kerajaan negeri dan setiausaha persekutuan untuk kita selia dari sudut bagaimana hendak melaksanakan pakej yang telah diumumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media setelah melakukan tinjauan barangan keperluan asas di Pasaraya Ta Kiong di The Spring, hari ini.
Tambah Abang Johari, ia adalah dasar fisikal kerana kerajaan hendak membantu rakyat yang terjejas kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Apa yang penting adalah untuk kita laksanakan keputusan tersebut,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Abang Johari mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin melalui Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan.
Katanya, kerajaan memang prihatin kepada rakyat dan pakej tersebut menambah bantuan yang diumumkan beliau melalui Pakej Bantuan Sarawakku Sayang berapa hari lepas.
Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat memperuntukkan sebanyak RM250 billion dengan matlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19.āDayakDaily.