Sarawak tuan rumah Sukan TAFISA-Asia pada 2022

Abdul Karim (empat dari kiri) pada pengumuman Sukan TAFISA Asia-Sukan Untuk Semua di Kuching hari ini (Feb 10, 2020).

KUCHING, Feb 10: Sarawak bakal menganjurkan Sukan TAFISA Asia-Sukan Untuk Semua pada tahun 2022.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ia hasil kejayaan bidaan pada penganjuran acara sukan ini di Tokyo tahun lepas.

“Kita telah berjaya membida penganjuran acara sukan ini di Tokyo, Jepun tahun lepas beserta satu lagi acara antarabangsa iaitu Sidang Kemuncak Pertama Datuk Bandar Asia Mengenai Hidup Aktif 2022.


“Kedua-dua acara antarabangsa ini akan berlangsung serentak pada bulan Ogos 2022 dan tarikh akan ditetapkan kemudian,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitul Makmur Kuching hari ini.

Pada sidang media itu juga, beliau turut menyaksikan acara Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi penganjuran acara sukan ini nanti.

Sukan TAFISA-Asia merupakan anjuran Persatuan Antarabangsa Sukan Untuk Semua (TAFISA) dengan kerjasama Majlis Sukan Untuk Semua Malaysia (MASFA).

Menurut Abdul Karim, sukan tersebut memiliki elemen tradisional, budaya dan persahabatan yang baik antara peserta-peserta.

“Inilah sebab kita berasa gembira dengan kejayaan membawa acara sukan ini ke Sarawak.

“Ia akan memeriahkan lagi bandaraya kita yang penuh dengan kepelbagaian budaya,” katanya.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian membayangkan sukan menyumpit dan permainan gasing akan dipertandingkan pada sukan itu nanti.

Lebih daripada 100 acara berbentuk sukan budaya akan dipertandingkan pada Sukan TAFISA-Asia ini yang melibatkan peserta dari pelbagai negara Asia termasuk Eropah.

Pada penganjuran yang lepas, sukan ini mampu membawa 50,000 peserta dan pelawat ke bandaraya penganjur.

Turut hadir, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Presiden MASFA Datuk Suroya Selamat dan wakil TAFISA Finn Berggren. — DayakDaily