Sarawak tidak akan naikkan tarif elektrik dan air, kata Abang Johari

Abang Johari (empat dari kiri) memukul gendang sebagai simbolik pelancaran Program Sarawakku Sayang 2020 di Samarahan hari ini (Jan 13, 2020).

Oleh Chris Bishop

SAMARAHAN, Jan 13: Sarawak tidak akan mengikut cadangan menteri kerajaan pusat untuk menaikkan tarif elektrik dan air.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata perkara yang berkaitan dengan tarif elektrik dan air adalah di dalam bidang kuasa kerajaan negeri.


“Setelah dilantik menjadi ketua menteri pada tahun 2017, saya berusaha untuk mengambil balik Empangan Bakun dari kerajaan pusat dan sekarang Bakun adalah milik Sarawak.

“Ada menteri dari Kuala Lumpur hendak menaikkan tarif caj elektrik dan air.

“Jangan susah, kita ada kuasa pada elektrik dan air. Sarawak tidak akan menaikkan tarif tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Program Sarawakku Sayang 2020 di Dataran Terbuka bersebelahan Dewan Suarah Samarahan hari ini.

Justeru, Abang Johari mempersoalkan cadangan menaikkan tarif tersebut yang bertentangan dengan janji Pakatan Harapan (PH) pada pilihanraya yang lepas.

Katanya yang genap tiga tahun sebagai ketua menteri hari ini, PH telah berjanji jika hari menang pilihanraya, esok harga barang turun.

Malah, tambah Abang Johari, kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mengambil keputusan untuk tidak mengenakan caj sambungan elektrik bagi caj berjumlah RM5,000 ke bawah berkuatkuasa 1 Januari 2020.

“Sekiranya caj penyambungan elektrik dari grid utama ke rumah termasuk rumah panjang adalah RM5,000, tidak perlu bayar. Kita beri percuma, GPS akan tanggung.

“Lebih daripada RM5,000 iaitu di antara RM5,001 sehingga RM10,000 akan diberi diskaun 70 peratus untuk caj penyambungan dan anda hanya perlu membayar 30 peratus sahaja,” katanya.

Disamping itu, katanya lagi, setiap isi rumah di Sarawak menikmati air percuma bagi RM5 pertama bil air domestik yang bersamaan dengan kira-kira 11,300 liter air berkuatkuasa 1 Jan 2020.

Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha menyediakan bekalan air dan elektrik ke kawasan luar bandar juga merupakan fokus utama kerajaan negeri dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurutnya, Skim Elektrik Luar Bandar (SARES) dan Projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) telah mendapat pengiktirafan di peringkat dunia

“Rundi (Menteri Utiliti, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom) telah pergi ke luar negara di mana mereka mengiktiraf kaedah kita menerusi SAWAS dan SARES.

“Kita akan teruskan usaha ini dalam RMK12 iaitu untuk tempoh dari tahun 2020 hingga 2025,” katanya. — DayakDaily