KUCHING, 23 Okt: Sarawak terus mempergiatkan usaha meneroka untuk mebangunakan pilihan bekalan tenaga menerusi kerjasama penyelidikkan mengunakan teknologi baharu termasuk teknologi berasaskan ekonomi hydrogen.
Pengerusi  Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Abdul Aziz Husain berkata, terdapat keperluan bagi syarikat untuk lebih berdaya tahan, inovatif dan terus optimis dalam memacu nilai perniagaan berterusan walaupun dunia korporat masih berjuang untuk pulih daripada impak pandemic Covid-19 ketika ini.
Katanya, melihat kepada keperluan tersebut, SEDC mengorak langkah menjalin kerjasama dengan dua syarikat minyak utama dari Jepun untuk membangun dan melakukan penyelidikan teknologi berkaitan ekonomi hydrogen.
Kerjasama tersebut ujar beliau akan membolehkan semua pihak untuk meneroka dan membentuk sesuatu yang bermanfaat untuk kebaikan bersama terutamanya dalam pembangunan ekonomi hydrogen di bahagian dunia ini
“Kami optimis mengenai kerjasama strategik dengan dua rakan dari Jepun, iaitu Sumitomo Corporation dan syarikat minyak negara itu, ENEOS yang secara tidak langsung memudahkan peranan SEDC dalam merealisasikan amanah yang diberikan oleh ketua menteri kepada kami.
“Kerjasama dengan rakan strategik ini berpotensi menjana pelaburan yang baik untuk Sarawak serta Malaysia sekaligus menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan di masa hadapan,” katanya,
Abdul Aziz berkata, ekonomi hydrogen bukannya satu gimik promosi sebaliknya ia telah menjadi satu trend oleh kebanyakan negara maju dalam usaha untuk meneroka tenaga boleh di perbaharui.
“Di seluruh dunia ketika ini, hydrogen kini mengalami lonjakan politik dan momentum dengan lebih banyak polisi atau dasar yang menyokong pembangunan dalam teknologi berasaskan bahan tersebut.
“Justeru ketika ini adalah masa yang sesuai untuk mengurangkan kos penghasilan bahan tersebut bagi membolehkan hydrogen dapat digunakan secara meluas,” katanya.
Perkembangan terkini katanya turut menunjukkan Sarawak akan berupaya mendapat manfaat daripada pasaran antarabangsa berasaskan teknologi hijau melalui penghasilan bahan bakar berasaskan hydrogen walaupun Sarawak bukan yang pertama menceburan bidang tersebut. –DayakDaily