Ular sawa baham kucing ditangkap APM Miri

Reptilia seberat 10 kg itu berjaya ditumpaskan.

Brad Rantayy

MIRI, 23 Okt: Kehilangan seekor anak kucing peliharaan milik seorang pemilik rumah di Kampung Charcoal Plant, Jalan Miri Pujut di sini, pada Jumaat, terjawab selepas seekor ular sawa seberat 10 kilogram ditemui di sebuah rumah pagi tadi.

Ketika kejadian jam sekitar 11.40 pagi itu, pemilik rumah, seorang wanita berusia 25 tahun, bersama enam ahli keluarganya menyedari kehadiran reptilia itu ketika sedang mencari anak kucing dalam stor rumah mereka.

Wanita berkenaan berkata, ketika sedang dalam stor itu beliau terlihat reptilia sepanjang lapan meter itu sedang melingkar di atas rak, dan seterusnya menghubungi Anhkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Saya yakin, ular itu telah membaham anak kucing saya,”ujar wanita tersebut yang enggan dikenali.

Anggota APM Miri menangkap ular sawa yang berlingkar di atas rak stor rumah berkenaan.

Sementara itu, Pegawai APM Miri Kapten (PA) Usman Harto, berkata skuad bertugas yang diketuai Mariani Eddy dengan tiga anggota lain bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan.

“Sebaik tiba, anggota APM mendapati seekor ular sawa sepanjang lapan meter dengan seberat 10 kilogram berlinkar di aras rak di dalam stor rumah berkenaan sebelum ditangkap menggunakan penjerut,” katanya.

Usman berkata, operasi tamat pada jam 12.57 tengahari. — DayakDaily