Sarawak terus bantu usahawan PKS, penyumbang kemakmuran Sarawak — Timbalan Premier

Awang Tengah (tiga dari kanan) merasmikan 'Showcase Satu Daerah Satu Industri' di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 1 Okt: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memainkan peranan penting terhadap kemakmuran Sarawak, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Katanya, ia melibatkan penciptaan peluang pekerjaan, daya tarikan pelancong dan kesejahteraan komuniti setempat.


“Di peringkat Sarawak, kita meneruskan usaha memberikan bantuan kepada usahawan PKS.

“Kita ada beberapa skim bantuan melalui kementerian saya, mana-mana yang berjaya mereka diberi bantuan dalam bentuk pinjaman mudah.

“Syarikat kecil dan sederhana serta individu bawah B40 juga layak buat permohonan,” katanya ketika ditemui di ‘Showcase Satu Daerah Satu Industri’ (SDSI) hari ini.

Tambah Awang Tengah, menerusi program Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS), mereka yang layak boleh mendapat pinjaman hingga RM250,000.

Disamping itu katanya, kerajaan juga menyediakan geran GeRAK (Graduan ke Arah Keusahawanan) untuk para graduan yang ingin memulakan perniagaan.

Bagi lepasan teknikal pula kata Awang Tengah, mereka boleh meminta pinjaman MUSTEM.

“Kedua-dua program ini agak popular. Ia beri kemudahan kepada graduan dan lepasan teknikel dan vokasional.

“Kalau berminat berniaga dan berjaya kita bagi geran RM25,000,” ujar Awang Tengah.

Dalam pada itu, SDSI 2023 Peringkat Wilayah Sarawak berjaya merekodkan jualan produk usahawan sebanyak RM21,000.

Ia melibatkan 10 usahawan SDSI dan berlangsung selama tiga hari. Ia turut melibatkan agensi-agensi awam termasuk swasta yang menawarkan kemudahan dan bantuan keusahawanan.

Seramai 13,000 pengunjung telah menghadiri ‘showcase’ ini, di mana seramai 506 usahawan berpotensi menerima pembiayaan perniagaan sehingga RM18 juta. — DayakDaily