Sarawak terima peruntukan RM1.296 bilion bantu rakyatnya carum Perkeso

Mohammed Azman (kiri) menyerahkan cenderamata ketika melakukan kunjungan hormat terhadap Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Kuching.

KUCHING, 15 April: Peruntukan sebanyak RM1.296 bilion telah disalurkan kepada rakyat Sarawak melalui pakej-pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan persekutuan berikutan pandemik Covid-19.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Dato’ Sri Mohammed Azman Aziz Mohammed memaklumkan perkara itu pada kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, di sini hari ini.

Beliau berkata peruntukan terbabit adalah dalam bentuk gaji, insentif pengambilan pekerja dan padanan caruman untuk Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Pada kunjungan hormat terbabit Mohammed Azman turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas caruman berjumlah RM4.16 juta.

Caruman tersebut ujar beliau adalah untuk 3,004 penjawat awam negeri, yang bertaraf kontrak dan sementara, di bawah skim perlindungan Perkeso di Sarawak. — DayakDaily