Polis siasat cubaan tipu tawar perkhidmatan isi borang ‘enterSarawak’

Datuk Aidi Ismail

KUCHING, 15 April: Polis Sarawak kini sedang menyiasat seorang suspek yang cuba menawarkan perkhidmatan mengisi borang ‘entersarawak’ dengan mengenakan bayaran RM130 bagi seorang pemohon.

Persuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya telah menerima satu laporan berkenaan perkara itu pada Isnin (12 April) lalu.

Katanya, loporan berkenaan adalah berkenaan satu ‘post’ yang tular di Facebook mengenai suspek menawarkan perkhidmatan mengisi borang ‘entersarawak’ bagi sesiapa yang ingin masuk ke Sarawak.


“Menerusi posting tersebut suspek telah mendakwa dirinya bekerja dengan pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) dan boleh meluluskan permohonan tersebut.

“Bagaimanapun semakan dengan pihak JPBN mendapati mereka tidak pernah melantik atau memberi kebenaran kepada mana-mana individu luar untuk bertindak bagi pihak JPBN Sarawak dalam sebarang urusan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Aidi, siastan awal polis mendapati suspek dipercayai merupakan seorang wanita namum enggan mendedahkan usia suspek berkenaan.

Katanya, siasatan kes berkenaan dilakukan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan iaitu cubaan menipu yang boleh dihukum penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta boleh dikenakan sebat dan denda.

“Orang ramai dingatkan untuk membuat permohonan ‘enterSarawak’ melalui saluran yang betul dan jika ada sebarang kemusykilan boleh menghubungi Bilik Operasi JPBN Sarawak di talian 082-443991 untuk mendapatkan sebarang maklumat berkaitan tatacara kemasukan ke Sarawak,” katanya. — DayakDaily