Sarawak sokong pelan pemulihan pelajar tercicir — Sagah

Sagah ketika berucap di Program Kecemerlangan Sejarah di SMK Tun Abdul Razak.

Oleh Chris Bishop

SIBURAN, 10 Jan: Sarawak menyambut baik usaha kerajaan pusat yang merangka satu pelan pemulihan untuk membimbing pelajar sekolah yang tercicir dalam sistem pendidikan nasional.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, Sarawak akan menyokong jika ia baik untuk pendidikan pelajar di Negeri ini.

“Apa-apa yang baik kita akan terima. Kita akan utamakan anak-anak kita terutama yang dari kawasan luar bandar,” katanya ketika ditemui di Program Kecemerlangan Sejarah di SMK Tun Abdul Razak, Siburan hari ini.

Terdahulu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan bahawa kementeriannya belum mempunyai data lengkap mengenai jumlah pelajar terlibat.

Justeru, usaha diadakan bagi mengumpul data serta maklumat daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk memproses input kajian yang dijalankan berhubung isu berkenaan.

Berhubung penurunan kuasa autonomi berkaitan pendidikan kepada Sarawak, Sagah berkata kerajaan Negeri telah bersedia selain memantau situasi.

“Khususnya berhubung peruntukan, kita mesti ada peruntukan khas bagi perkara pendidikan daripada kerajaan pusat,” katanya. — DayakDaily