Pejalan kaki maut, dipercayai dilanggar lari di Mukah

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

MUKAH, 10 Jan: Seorang pejalan kaki maut dipercayai dilanggar lari sebuah kenderaan di Jalan Sibu-Bintulu malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata mangsa semasa kejadian berjalan kaki dari Rumah Akat menuju ke Rumah Cindun iaitu sekitar jam 9 malam.

Katanya, mangsa ditemui terbaring tidak sedarkan diri di tengah jalan raya tersebut iaitu berdekatan Sungai Aping Kemena, Ulu Balingian.


Mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik.

Mayat mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Mukah untuk tindakan selanjutnya.

Polis sedang berusaha mengesan kenderaan yang terlibat kemalangan tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Rahmat di talian 0113127137 atau IPD Mukah 082-871222. — DayakDaily