Oleh Chris Bishop
KUCHING, 11 Okt: Sarawak sudah bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir di dalam tempoh Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, persediaan dibuat bagi memastikan proses pilihanraya diadakan dengan lancar.
“Sekarang kita tidak dapat untuk meramalkan keadaan cuaca. Ini disebabkan fenomena pemanasan global dan juga perubahan iklim.
“Namun kita sudah bersedia dengan apa jua kemungkinan,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Tapak Pembinaan Wisma Melayu Sarawak di sini, hari ini.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen Penggal ke-14 dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU15.
Sementara itu, Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar II berkata, Wisma Melayu Sarawak merupakan mercu tanda Melayu yang diilhamkan Allahyarham Pehin Sri Datuk Patinggi Adenan Satem.
Projek dengan kos RM73 juta di tanah seluas 6.5 ekar di Jalan Diplomatik di Petra Jaya dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.
“Wisma ini nanti akan dilengkapi dengan dewan serbaguna, bilik seminar, ruang terbuka, galeri sejarah dan budaya melayu, pejabat pentadbiran, taman landskap dan surau,” ujar Awang Tengah yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS).
Hadir sama Pengurus Besar AKYBMS Datu Dr Sanib Said. — DayakDaily