Sarawak sasaran 50 pingat emas di Sukma 2022

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING, 29 Mac: Sarawak menetapkan sasaran 50 pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma 2022) edisi ke-20 yang akan diadakan di Kuala Lumpur September ini.

Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Sarawak boleh muncul sebagai juara keseluruhan jika mampu memperolehi lebih daripada 50 pingat emas.

“Kalau kita lihat kepada Sukma pada tahun-tahun yang lepas, bagi sebuah negeri untuk muncul juara mesti memperolehi lebih daripada 50 emas.

“Tetapi kita lihat bahawa sasaran 50 hingga 55 pingat emas boleh dicapai, jadi sasaran kita pun lebih kurang sama.

“Walau bagaimanapun, sasaran sebenar akan kita umumkan sebelum kontingen kita berlepas ke Kuala Lumpur nanti,” kata Abdul Karim.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Pelancaran “Countdown Route To Victory Sukma XX, MSN 2022” di sebuah hotel di sini, hari ini.

Tambah Abdul Karim, Sarawak akan menghantar lebih 1,000 atlet termasuk pegawai-pegawai sukan pada temasya sukan yang dianjurkan Majlis Sukan Negara (MSN) itu nanti.

Daripada jumlah itu ujar beliau, sebanyak 700 ke 800 adalah para atlit yang akan bertanding di pelbagai acara sukan.

Katanya, Sukma 2022 Kuala Lumpur akan mempertandingkan sebanyak 31 acara. —  DayakDaily