KUCHING, 5 Nov: Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dengan panjang keseluruhan jajaran 425km akan menghubungkan 14 bandar utama di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata projek bernilai RM5.2 bilion tersebut, yang akan mengambil masa enam sehingga 10 tahun pembinaan, akan melibatkan pembinaan jalan utama sepanjang 250km dan dua jalan penghubung sepanjang 175km.
“SSLR merupakan jalan perhubungan darat pertama menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa melalui negara Brunei. Ia juga merupakan jalan raya berturap pertama yang menghubungkan kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah.
“Ini sudah pastinya memudahkan perjalanan pengguna jalan raya yang tidak perlu melalui pemeriksaan keselamatan sempadan di pos kawalan Imigresen,” katanya ketika melancarkan projek SSLR di Jalan Long Sebangang-Bukit Berikau di Lawas, hari ini.
Tambah beliau, jajaran SSLR juga membentuk satu jaringan perhubungan yang lengkap di kepulauan Borneo, iaitu Lebuhraya Trans Borneo antara Sarawak, Sabah dan Kalimantan.
Baru, yang juga MP Selangau dan ADUN Ba’Kelalan, kata perlaksanaan projek SSLR adalah secara berfasa.
Pakej 1 katanya, melibatkan pembinaan jalan sepanjang 90km bermula dari Lawas melalui Long Sukang, seterusnya ke Long Lopeng dan berakhir di Kampung Pa’ Berunut, Sarawak.
“Skop projek SSLR Pakej 1 ini adalah membina jalan baharu berasaskan lorong tunggal dua hala mengikut piawaian JKR R3. Projek ini dijangka bermula pada suku pertama tahun 2020 dan pembinaan dijangka mengambil masa selama 48 bulan,” katanya.
Menurut Baru lagi, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada 9 Ogos yang lalu, telah meluluskan peruntukan kos projek berjumlah RM1.2 bilion untuk projek ini dan akan dilaksanakan secara Reka dan Bina.
Penduduk setempat dijangka dapat mula menggunakan jajaran Pakej 1 dari Lawas ke Kampung Pa’ Berunut ini pada tahun 2024.
Dalam pada itu, Baru berkata Pakej 2 SSLR sepanjang 160km bermula dari Kampung Pa’ Berunut sehingga ke Long Lama dan pelaksanaannya beserta jalan sambungan akan diumumkan pada fasa akan datang.
Majlis pelancaran pada hari ini turut menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada syarikat Perunding Ukur Tanah iaitu Syarikat Resources Surveys Services. — DayakDaily