Sarawak rancang tubuh pusat sains

Manyin (tengah) berucap dalam sidang akhbar.

KUCHING, April 3: Sarawak merancang untuk menubuhkan sebuah pusat sains dalam usaha melahirkan golongan pelajar yang memiliki kemahiran tinggi dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknikal Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata, secara dasarnya kerajaan negeri ini sudah bersetuju untuk mewujudkan pusat sains pertama di sini.

Menurut beliau, pihaknya akan memajukan cadangan itu kepada kepada kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi merealisasikan usaha kerajaan negeri dalam tempoh terdekat.


“Kita yakin sebuah pusat sains yang pertama seumpamanya akan ditubuhkan di Sarawak dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Pada masa sama, kita merancang untuk menempatkan pusat sains tersebut di Planetarium Sultan Iskandar di Dewan Suarah Kuching di sini,” katanya semasa sidang akhbar selepas melancarkan Minggu Sains Nasional Peringkat Negeri Sarawak di Pustaka Negeri di sini semalam.

Terdahulu ketika berucap, Manyin memberitahu, usaha kerajaan untuk menarik minat generasi mudah dalam memperkasakan subjek STEM harus diberi perhatian oleh warga pendidik.

Katanya, perkara itu penting kerana negara memerlukan modal insan yang berdaya saing dan mampu memajukan bidang teknologi global dalam usaha mencapai status maju menjelang 2050.

“Sehubungan itu, kita perlu memastikan bahawa modal insan di Sarawak dan seluruh negara amnya dapat menguasai bidang STEM ini.

“Ini kerana, kita anggarkan kira-kira 80 peratus daripada jumlah pekerjaan pada masa depan memerlukan kemahiran serta keupayaan tinggi dalam STEM,” ujarnya lagi. — DayakDaily