Sarawak perlukan pakar teknikal urus rumput ‘Zeon Zoysia’ — Gerald

Dato Gerald Rentap Jabu
Advertisement

KUCHING, 16 Jan: Sarawak memerlukan pakar teknikal dalam mengurus serta menjaga kualiti rumput padang di stadium sekiranya rumput jenis ‘Zeon Zoysia’ ditanam di Stadium Sarawak, kata Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu.

Menurut laporan TVS, Gerald berkata, Sarawak masih mempertimbangan pelaksanaan penanaman rumput tersebut kerana ia merupakan pelaburan yang besar.

“Penggunaan rumput ‘Zeon Zoysia’ memang dapat digunakan di Stadium Sarawak tetapi kita tetap memerlukan ramai pakar teknikal untuk mengendalikannya.

Advertisement

“Ini bukan rumput untuk dimakan kambing atau lembu tetapi ini bertujuan untuk kegunaan sukan dan bertaraf antarabangsa,” katanya ketika ditemui TVS pada Isnin (15 Jan).

Menurutnya Gerald lagi, Sarawak tetap menghargai tawaran yang disediakan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bagaimanapun perkara berhubung itu memerlukan penelitian yang tuntas.

“Kita bukan sahaja memerlukaan padang yang bagus, tetapi kita memerlukan padang yang boleh digunakan dengan kerap bukannya untuk disimpan sahaja dan tidak dapat dipakai.

“Bagaimanapun kita menyerahkan kepada pihak Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) untuk meneliti dan memberi cadangan kepada pihak kementerian KBS,” katanya.

Terdahulu, KBS menerusi Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024-2025 pada 9 Januari 2024 telah menawarkan geran sebanyak RM7 juta kepada semua negeri bagi menaik taraf saliran serta penanaman rumput padang di stadium terpilih.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata geran itu ditawar bagi menambah baik dan meningkatkan kualiti padang sekali gus memastikan kelancaran ketika perlawanan Liga Malaysia pada musim hujan. — DayakDaily

Advertisement