Sarawak perlukan litar lumba rakyat — Willie

Willie melepaskan para pelumba yang menyertai sukan pocketbike di pekarangan Dewan Suarah Bau.

KUCHING, 2 Okt: Sarawak perlu membina litar lumba rakyat dalam usaha mencungkil bakat anak muda dalam sukan permotoran.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap MP Puncak Borneo Datuk Willie Mongin berkata, pembinaan litar rakyat berkenaan mampu mengetengahkan kebolehan anak muda menjadi pelumba profesional pada masa akan datang.

Beliau berharap kerajaan Negeri dan kerajaan persekutuan bersama-sama memajukan sukan permotoran di Negeri ini.


“Harapan saya, kita dapat melahirkan lebih banyak pelumba profesional dari Negeri Sarawak.

“Ramai anak Sarawak mempunyai bakat terpendam untuk dicungkil dan digilap supaya menjadi pelumba profesional.

“Apabila menjadi pelumba profesional mereka akan mempunyai pendapatan yang lumayan suatu hari nanti,” katanya selepas merasmikan perlumbaan sukan pocketbike di pekarangan Dewan Suarah Bau hari ini.

Perlumbaan dianjurkan D One Motorsports Club sempena penganjuran Pesta Tasik Biru.

Menurut Willie, dia akan berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk memastikan pembinaan litar rakyat akan menjadi realiti suatu hari nanti.

Beliau yakin dengan adanya litar rakyat, ia mampu mengurangkan aktiviti tidak sihat seperti berlumba secara haram.

”Litar rakyat ini, tempat yang lebih selamat untuk anak muda terlibat dengan aktiviti perlumbaan yang lebih teratur daripada berlumba secara haram,” katanya. — DayakDaily