KUCHING, OKT 21: RM4.4 billion melalui Belanjawan 2020 ternyata tidak cukup untuk perbelanjaan pembangunan Negeri Sarawak, tegas Ahli Parlimen (MP) Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Pada perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Parlimen hari ini, beliau meminta justifikasi dari Kerajaan Pusat berhubung peruntukan dengan jumlah tersebut.
“Bunyinya besar tapi hakikatnya tidak cukup. Justifikasinya mudah, Sarawak luasnya hampir sama dengan Semenanjung Malaysia jika ditolak Negeri Perlis.
“Manakala Sabah jauh lebih kecil keluasannya berbanding Sarawak. Justeru itu peruntukan 4.4 billion ternyata tidak cukup untuk perbelanjaan pembangunan.
“Lebih-lebih lagi mengapa Sabah mendapat peruntukan 5.2 billion. Apakah justifikasi ini?,” tanya Ahmad Johnie.
Tambah beliau lagi, Negeri Sarawak dalam kerangka menuju Negeri maju pada tahun 2020 sudah tentu mempunyai banyak perancangan khususnya dalam kontek memakmurkan taraf hidup rakyat di luarbandar dari segi infrastruktur asas, jalan raya, bekalan air, elektrik, jambatan dan sebagainya.
Katanya, ia termasuk isu-isu sekolah-sekolah daif dan pendidikan di Sarawak yang memerlukan peruntukan yang besar.
“Sebab itu ramai rakyat, dan pemimpin Sarawak memandang sinis terhadap belanjawan ini, kerana sebagai negeri yang banyak menyumbang hasil kepada negara sepatutnya mendapat peruntukan yang lebih banyak,” katanya.
Ahmad memberitahu yang isu-isu dan masalah Pendidikan di Negeri Sarawak adalah merupakan isu-isu yang amat kritikal yang perlu di tangani segera dan soal-soal Pendidikan adalah dibawah bidang kuasa dan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.
Ujar beliau lagi, Kementerian Pendidikan didalam Belanjawan kali ini mendapat sejumlah RM64.12 billion dan ia mencerminkan komitmen kerajaan untuk melabur didalam bidang Pendidikan demi masa depan anak bangsa.
Dengan peruntukan yang besar itu, Ahmad Johnie mahukan Menteri Pendidikan mengutamakan tentang isu-isu Pendidikan yang amat kritikal di Negeri Sarawak untuk segera diambil tindakan dan perhatian.
“Diantara masalah pendidikan yang kritikal di Sarawak adalah seperti isu sekolah-sekolah daif, sekolah-sekolah yang tiada kemudahan utiliti seperti tiada bekalan elektrik, tiada air bersih yang terawat, akses internet, jaringan jalanraya dan sebagainya.
“Isu sekolah-sekolah yang berada dikawasan yang sering dilanda banjir, isu sekolah kurang murid, isu kurangnya kemasukan pelajar-pelajar ke aliran Sains, dan isu rendahnya prestasi sekolah-sekolah di Negeri Sarawak didalam Peperiksaan Peringkat Kebangsaan seperti Peperiksaan UPSR dan SPM,” katanya. — DayakDaily