Sarawak memberi RM5 juta untuk membina gereja terbesar di Kapit

Datuk Alexander Nanta Linggi (tengah) disambut warga Gereja Methodist Iban Bandaraya Kuching ketika menghadiri majlis makan malam pra Krismas gereja terbabit di Penview Convention Centre Demak.

KUCHING, Dis 10: Kerajaan negeri telah memberikan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi membantu membina sebuah gereja Kristian Methodist Iban yang terbesar di kawasan Kapit.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg memberikan peruntukan itu ketika melawat ke Kapit baru-baru ini.

“Wakil rakyat di Kapit termasuk saya telah membuat senarai permintaan kami kepada Ketua Menteri; jadi saya meminta peruntukan tambahan sebanyak RM3 juta bagi membina gereja itu di Kapit dan Ketua Menteri sebelum berucap di satu majlis di Dewan Suarah Kapit memberitahu saya yang beliau bersetuju menambah peruntukan itu sebanyak RM5 juta,” katanya ketika menghadiri Majlis Makan Malam Pra-Krismas 2017 Gereja Methodist Iban Bandaraya Kuching di Penview Convention Centre Demak, Jalan Demak, di sini, semalam.


Datuk Alexander Nanta Linggi (kanan) berbincang dengan warga Gereja Methodist Iban Bandaraya Kuching ketika menghadiri majlis makan malam pra Krismas gereja terbabit di Penview Convention Centre Demak.

Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata beliau meminta peruntukan itu dari kerajaan negeri kerana kesukaran mengumpul sumber kewangan pembinaan gereja itu dan selama ini hanya mampu mengumpul keseluruhannya sebanyak RM400,000 sahaja.

“Saya sehubungan itu amat gembira kerana Ketua Menteri telah bermurah hati memberikan sebanyak RM5 juta bagi membantu membina gereja terbabit walaupun yang diminta hanya RM3 juta,” katanya.

Beliau berkata ketika ini pelan bangunan gereja terbabit sudah disiapkan tetapi masih ada pihak dalam gereja itu yang tidak berpuas hati dengan pelan terbabit dan ketika ini masih mencari arkitek lain bagi menambahbaik pelan sedia ada sebelum memulakan pembinaanya.

Sehubungan itu, Nanta meminta gereja Methodist Iban termasuk di Kuching supaya memohon peruntukan dari kerajaan negeri ataupun kerajaan pusat sekiranya mengalami kekurangan sumber kewangan bagi menambahbaik atau membina bangunan gereja baharu.

“Ini kerana tahun ini ada sebuah gereja lain meminta sumber kewangan sebanyak RM50,000 bagi tujuan itu. Jadi saya meminta mereka menulis surat memohon peruntukan dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan surat itu disertakan sokong saya,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri kemudian memberikan sebanyak RM100,000 bagi gereja terbabit dan kemudian gereja itu ada memohon sekali lagi peruntukan tambahan sebanyak RM180,000 dan juga turut diluluskan Perdana Menteri dua bulan lepas. — DayakDaily