Sarawak MATTA Travel Fair 2023 berlangsung 7–8 Okt di Aeon Mall Kuching

Dayang Azizah (dua dari kiri) dan Mohamed Firdaus (dua dari kanan) mempamerkan poster MATTA Travel Fair 2023.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 4 Okt: Sarawak MATTA Travel Fair 2023 yang bakal diadakan pada 7 hingga 8 Oktober menyediakan 5 set tiket penerbangan pergi balik ke mana-mana destinasi perkhidmatan ATR Maswing kepada pengunjung bertuah.

Setiausaha Kehormat Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Chapter Sarawak Dayang Azizah A Zaidan berkata, ia bertujuan memberi keceriaan dan pengalaman kepada pengunjung ke edisi ke-18 penganjuran tahun ini.


Katanya, MATTA Travel Fair 2023 akan diadakan di Aeon Mall di Kuching dan bakal dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting pada 7 Oktober.

Malaysia Aviation Group (MAG) merangkumi Malaysia Airlines dan anak syarikatnya Firefly dan MASwings adalah syarikat penerbangan rasmi bagi MATTA Travel 2023.

“Dalam tempoh dua hari, pengunjung berpeluang membeli pakej pelancongan menarik baiknya di dalam dan di luar negara.

“Penganjuran acara ini membolehkan Malaysia Airlines dan anak syarikatnya Firefly dan MASwings bekerjasama rapat dengan ejen-ejen terlibat dalam menyediakan pakej dan promosi menarik kepada pengunjung,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Sementara itu Pengurus Jualan Malaysia Timur MAG Mohammed Firdaus berkata, pihaknya akan menyediakan diskaun penerbangan ke destinasi terpilih bersempena dengan acara itu nanti.

Bagi penerbangan domestik, katanya, MAG menyediakan diskaun sehingga 40 peratus.

Manakala bagi penerbangan antarabangsa, pihaknya menyediakan diskaun sehingga 47 peratus. — DayakDaily