KUCHING, Jan 26: Sarawak ketika ini mampu melahirkan doktor jurubedah jantung yang bertaraf dunia kerana latihan pembedahan jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan kini diiktiraf di United Kingdom.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Professor Datuk Dr Sim Kui Hian mendedahkan perkara tersebut dengan berkata latihan pembedahan bagi doktor di Pusat Jantung HUS kini adalah setanding latihan bertaraf dunia yang diberikan kepada doktor di United Kingdom.
“Bukan sahaja memberikan perkhidmatan rawatan jantung terbaik di negara ini, ianya (Pusat Jantung HUS) kini juga menyediakan latihan doktor jurubedah (jantung) yang diiktiraf United Kingdom. Sebelum ini kami mesti ke United Kingdom bagi menjalani latihan sebagai jurubedah jantung yang diiktiraf tetapi kini doktor jantung dari sana boleh ke negeri ini bagi mendapatkan latihan itu yang diiktiraf negara mereka,” katanya ketika merasmikan Majlis Ikrar Bebas Rasuah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Agensinya, di Dewan Undangan Negeri (DUN),Petra Jaya, di sini, baru-baru ini.
Dr Sim yang juga pakar jantung berkata latihan jurubedah kepada doktor jantung di Pusat Jantung HUS mengambil masa antara setahun sehingga tiga tahun dan berjaya mendapat pengiktirafan tersebut berikutan pusat itu kini semakin dikenali di dunia dalam penyelidikan rawatan jantung dan sudah berada dihadapan dalam penyelidikan itu.
Beliau berkata kejayaan terbabit menjadi kebanggaan peribadinya. Beliau mendedahkan 10 tahun lepas dia terpaksa mengangkut sendiri peralatan pembedahan jantung dari pusat jantung di Kuala Lumpur dan Johor bagi mula menjalankan pembedahan jantung di Pusat Jantung HUS ketika baru ditubuhkan.
“Ketika ini pusat terbabit adalah yang terbaik di negara ini. Saya juga masih terus berusaha bertemu dengan doktor jantung dan meluangkan masa dengan pesakit di pusat terbabit,” katanya. Beliau juga mendedahkan ketika ini sedang melihat kemungkinan menjemput Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi merasmikan kemudahan perubatan terkini pusat jantung itu tidak lama lagi. ā DayakDaily