APMM Daerah Bintulu tahan nelayan Vietnam

Nelayan Vietnam yang ditahan APMM Bintulu.

BINTULU, Jan 26: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim (DM) Bintulu berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang sedang menangkap ikan di perairan Bintulu semalam.

Pengarah Maritim Daerah Bintulu, Komander Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, bot nelayan asing yang bernombor pendaftaran TH 99355 TS bersama seorang tekong dan tujuh awak-awak itu ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi.

Menurut beliau, bot tersebut ditahan pada lokasi kira-kira 152 batu nautika dari Pelabuhan Bintulu di sini.


“Setelah diperiksa, kesemua kru bot nelayan berkenaan yang berusia antara 25 hingga 50 tahun gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka juga tidak memiliki kebenaran bertulis menangkap ikan oleh Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Hambali memberitahu, jumlah rampasan dianggarkan sebanyak RM1 juta.

Katanya, anggaran rampasan itu termasuk bot, peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan ikan pelbagai jenis seberat kira-kira lapan tan.

“Kesemua nelayan Vietnam sudah dibawa ke Pelabuhan Bintulu untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Perikanan 1985,” ujarnya lagi. — DayakDaily