Sarawak lulus RM124 juta bagi naik taraf fasiliti Sukma 2024

Abdul Karim berucap di Majlis Perasmian Program Integrasi Belia Sarawak, Johor Dan Sabah.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 10 Okt: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan RM124 juta bagi menaik taraf fasiliti-fasiliti sukan di 9 bahagian.

Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia bagi memastikan kelancaran penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang dijadual pada Ogos depan.

Advertisement

“Pada Mesyuarat Kabinet baru-baru ini, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM124 juta bagi menaik taraf semua kemudahan sukan di 9 bahagian bagi penganjuran Sukan Malaysia 2024.

“Peruntukan ini hanya untuk menaik taraf kemudahan sukan dan tidak termasuk persiapan pasukan Sukma Sarawak,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian ketika ditemui di Majlis Perasmian Program Integrasi Belia Sarawak, Johor Dan Sabah di Muzium Budaya Borneo hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Serian menjadi bahagian ke-9 yang bakal terlibat dalam penganjuran acara Sukma 2024.

Katanya, ini berikutan Serian kini memiliki pusat konvensyen yang sesuai digunakan bagi acara sukan.

“Saya melihat peruntukan bagi menaik taraf fasiliti sukan ini sangat penting.

“Selesai Sukma 2024 nanti, ia boleh digunakan untuk mengasah bakat anak-anak muda kita dalam bidang sukan,” kata Abdul Karim.

Hadir sama Menteri Belia Dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan, Koperasi Dan Sumber Manusia Johor Mohd Hairi Mad Shah. — DayakDaily

Advertisement