Sarawak keluar BN, peluang UMNO masuk Sarawak?

Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman
Advertisement

KUCHING, Jun 14: Ketiadaan mana-mana parti di Sarawak yang mewakili Barisan Nasional (BN) dilihat berpotensi besar untuk membolehkan golongan tertentu meraih peluang dan kesempatan yang dinanti-nantikan selama ini bagi merealisasikan dan menghidupkan semula kewujudan UMNO di Sarawak.

Mungkin ada yang berpandangan ini tidak masuk akal namun sepertimana yang dikatakan dalam dunia politik yang serba dinamik, tiada kawan atau lawan yang kekal dan demikianlah juga dalam aspek pemerintahan, tiada yang akan kekal berkuasa.

Justeru penganalisis politik, Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman menyifatkan BN sudah pasti akan memikirkan kelangsungan ‘survival’ politiknya dan ingin mengembalikan semula kegemilangannya.

Advertisement

“Dalam usaha untuk bangun semula, segala gerakan perlu dilaksanakan secara menyeluruh. Sudah pasti rakan politik di Sabah dan Sarawak amat diperlukan bagi mencapai matlamat untuk kembali bangkit dan berkuasa.

“Jika parti-parti tempatan kelihatan seolah sudah tidak berminat manakala BN pula melihat sudah tidak punya harapan lagi untuk menjalinkan sebarang afiliasi dengan pihak berkenaan, apakah mungkin satu langkah berani yang diambil untuk keluar parti oleh kerajaan negeri bakal mencipta satu sejarah baharu dengan bertapaknya UMNO di bumi Sarawak?

“Jangan pandang sepi terhadap isu yang dibangkitkan ini kerana dihujung telinga dan bisik-bisik di kedai kopi ianya sudah mula kedengaran dan dicakapkan.

“Ingat, sejarah banyak membuktikan biarpun cakap-cakap itu hanya di kedai kopi, jika tidak dipandang serius ianya boleh membawa kepada satu perubahan yang tidak terduga,” katanya yang ditemu-bual.

Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu menambah mungkin pada waktu ini, UMNO dan BN kelihatan sebagai sebuah parti yang semakin lemah dan bukan lagi sebagai satu cabaran besar dalam dunia politik semasa negara.

“Tapi, jangan lupa. Ambillah iktibar sejarah politik Jepun sebagai contoh di mana kita telah menyaksikan bagaimanana perubahan sementara pemerintahan parti dominan itu kembali berkuasa dalam hanya beberapa tahun,” katanya.

Beliau turut menegaskan mungkin perbandingan ini tidak begitu tepat dalam konteks Malaysia namun ia bukan mustahil untuk berlaku.

Katanya jika kita melihat dengan hati yang terbuka dan reseptif serta berfikir secara secara objektif, isu ini amat terdedah kepada sebarang kemungkinan.

“Ia harus dilihat sebagai antara salah satu cabaran besar yang bakal menanti dan sedang menjelma.

“Asal sahaja ada peluang dan ruang, golongan yang ‘berkebolehan’ ini akan merebutnya dengan serba serbi muslihat yang ada kalanya tak terfikir dek akal.

“Jika DAP, PAN,PKR dan PAS boleh bertapak di Sarawak, di mana rasionalnya untuk menidakkan kemungkinan ini (kemasukan UMNO) lebih-lebih lagi tanpa kehadiran parti komponen BN pada waktu ini?” jelasnya.

Sehubungan itu, Mohd Fadzil mengingatkan jika Sarawak berniat untuk terus gagah mempertahankan keunggulannya sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang tiada UMNO di dalamnya, maka setiap tindakan langkah dan keputusan yang sudah, sedang dan bakal diambil seharusnya jangan sampai bertukar menjadi satu peluang, kekuatan dan kelebihan yang terhidang tanpa disedari. — DayakDaily

Advertisement