KUCHING, 30 Okt: Sarawak akan mengkaji sistem pendidikan agama yang digunakanĀ Madrasah Aljunied di Singapura untuk diterapkan dalam sistem sekolah agama kendalian Majlis Islam Sarawak.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Sarawak untuk berunding dengan madrasah terbabit dalam masa terdekat.
Ia bagi membolehkan Sarawak mewujudkan satu sekolah antarabangsa yang memberikan fokus kepada pendidikan Islam dan pendidikan sekular.
āMadrasah Aljunied Singapura ini mempunyai dua silibus iaitu yang pertama silibus berkaitan agama Islam dan satu lagi silibus berkaitan pendidikan moden bertaraf antarabangsa.
āJadi apabila sistem ini dapat dilakukan kelak, kita bukan sahaja dapat melahirkan golongan muda yang bukan sahaja mempunyai kefahaman yang tinggi dalam bidang agama tetapi juga bidang-bidang lain termasuk sains dan teknologi,ā katanya ketika berucap melancarkan projek pembinaan bangunan pentadbiran baharu dan menaiktarafĀ bangunan akademik Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang di sini.
Abang Johari berkata, Sarawak menyediakan dana berjumlah RM12 juta untuk tempoh tiga tahun bagi membina 1,265 buah makmal komputer di sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri ini.
Katanya inisiatif tersebut melibatkan cadangan untuk membekalkan dan melengkapi semua sekolah di Sarawak dengan peralatan asas komputer.
āPerancangan ini adalah bagi meningkatkan kemahiran digital dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk memenuhi keperluan agenda ekonomi digital negeri.
āIni sekali gus bagi menggalakkan penguasaan kemahiran digital di kalangan generasi muda terutamanya murid-murid di sekolah rendah,ā katanya.
Jelasnya pendedahan awal murid-murid kepada ICT dan teknologi digital berupaya membina pemikiran kritikal, meningkatkan kreativiti, meneroka pelbagai bidang, mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran dalam situasi, di samping meningkatkan minat dan perhatian mereka.
Pada masa sama penguasaan kemahiran digital dan ICT pada tahap awal juga dapat meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran harian pelajar atau murid terlibat.
āDengan adanya inisiatif ini, maka teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai elemen merentas kurikulum dapat diterapkan secara efektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah demi melahirkan insan yang kompeten dan berkemahiran digital seperti yang dihasratkan kerajaan untuk memenuhi keperluan agenda pembangunan ekonomi digital di negeri ini,ā kataya. ā DayakDaily