Sarawak harap dapat tambahan RM500 juta bangunkan 5,000 hektar kawasan tanaman padi

Mohamad Sabu pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Advertisement

KUCHING, 21 Okt: Sarawak berharap untuk memperoleh tambahan RM500 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi membangunkan kawasan tanaman padi seluas 5,000 hektar, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurut laporan TVS, Mohamad Sabu berkata, terdahulu Sarawak telah menawarkan untuk membangunkan jelapang padi negara dengan peruntukan RM500 juta daripada kerajaan negeri.

Katanya, langkah ini diambil bagi memastikan bekalan beras negara kekal stabil dan mencukupi untuk keperluan rakyat Malaysia.

Advertisement

“Justeru, Kementerian kini giat meneroka kawasan berpotensi di Sarawak dan Sabah untuk dijadikan jelapang padi baharu negara.

“Langkah ini bertujuan meningkatkan pengeluaran beras negara bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Mohamad, permintaan terhadap makanan ruji negara seperti beras sangat tinggi.

“Apabila berlaku ketidakcukupan bekalan, ia menjadi isu yang serius kerana majoriti rakyat Malaysia bergantung kepada nasi sebagai makanan utama,” katanya.

Tambah beliau, pengeluaran beras dari jelapang padi di Semenanjung tidak mencukupi untuk menampung permintaan semasa.

Ujar Menurut Mohamad Sabu, penjelajahan kawasan berpotensi di Sabah dan Sarawak akan diberi tumpuan.

Ini terutamanya dalam Rancangan Malaysia yang akan datang untuk memastikan bekalan beras negara mencukupi memandangkan makanan alternatif seperti jagung tidak dapat memenuhi keperluan rakyat. — DayakDaily

Advertisement