Sarawak Energy perkasa kebolehupayaan bekalan tenaga elektrik di Matu

Talian kedua akan menjamin kebolehupayaan bekalan tenaga elektrik di Matu.

KUCHING, Okt 14: Sarawak Energy Berhad terus berusaha memperkasakan keupayaan bekalan tenaga untuk penduduk di Matu dengan melabur dalam projek talian elektrik yang baharu.

Bekalan tenaga sedia ada, 33kV sepanjang 40km menghubungkan Matu kepada sub stesen Daro dengan kapasiti 33/11kV yang baru broperasi, mudah terdedah kepada gangguan.

Projek talian transmisi kedua akan membantu memperkasakan sistem bekalan tenaga dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2019.

Dalam satu kenyataan, Naib Presiden Sarawak Energy, Yusri Safri memberi jaminan yang kerja-kerja pemasangan talian kedua dapat disiapkan secepat mungkin.

“Dengan siapnya pemasangan talian kedua, bekalan tenaga dijangka akan lebih baik.

“Walaupun talian kedua dipasang selari dengan talian sedia ada, sebahagian daripadanya akan menggunakankan kabel bawah tanah dan ini dapat mengurangkan gangguan bekalan tenaga,” kata Yusri.

Sarawak Energy, tambah beliau. melabur sejumlah RM333.2 juta untuk memperkasakan sistem sekaligus menjamin kebolehupayaan bekalan tenaga.

Katanya, kerja dilakukan mengikut fasa dan ia melibatkan kerja pembinaan sub-stesen yang baharu di Daro pada Mei lepas dan talian 132kV dari sub stesen Sg Maaw ke sub stesen Petian sedang dalam pembinaan.

Yusri juga turut memaklumkan berkenaan usaha mengurangkan risiko gangguan bekalan dan langkah pantas untuk mengembalikan semula tenaga.

“Pasukan teknikal kita memantau semua talian dengan rapat. Mereka bersedia untuk dikerahkan sebaik sahaja menerima notis pemberitahuan gangguan bekalan dan mengembalikan semula bekalan tenaga secepat mungkin.

“Pasukan juga menggunakan pengimbas infra-merah untuk mengesan gangguan pada bekalan tenaga,” katanya.

Disamping itu, tambah Yusri, pasukan juga sentiasa melakukan pemeriksaan dan membuat penyelenggaraan berjadual pada talian dan tiang elektrik.

Menurut rekod, kata Yusri, gangguan berlaku akibat keadaan persekitaran yang tidak terkawal di sepanjang talian seperti kabel terkena pokok yang ditebang, rumput yang semakin tinggi dan pencerobohan haiwan liar.

Sarawak Energy menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa melakukan kerja berhampiran dengan kemudahan elektrik demi keselamatan dan untuk mengelakan gangguan bekalan tenaga.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan ke pusat khidmat pelanggan di talian 1300-88-3111 atau melalui emel customercare@sarawakenergy.com.my. — DayakDaily