Sarawak Delta Geopark diyakini mendapat pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark

Takiyuddin (dua dari kiri) bersama Abang Johari (empat dari kanan) di Majlis Pemasyhuran Sarawak Delta Geopark sebagai Geopark Kebangsaan yang ke-6.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 24 Sept: Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan yakin Sarawak Delta Geopark (SDGp) berupaya untuk mendapat pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark dalam masa beberapa tahun ini.

Katanya, keyakinan itu adalah berdasarkan komitmen padu daripada kerajaan negeri serta tadbir urus yang jitu berhubung pelaksanakan inisiatif geopark.

“Kementerian berharap kerjasama yang erat antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan serta dengan semua stakeholders dapat dipertingkatkan demi penambahbaikan dan pembangunan Sarawak Delta sebagai Geopark Kebangsaan yang lebih mampan.

“Dalam masa beberapa tahun yang akan datang, diharapkan SDGp dapat mengecapi pencapaian yang lebih tinggi iaitu ke arah pengktirafan sebagai UNESCO Global Geopark dan kukuh menjadi hub geo pelancongan sekaligus meningkatkan ekonomi tempatan,” katanya.

Takiyuddin berkata demikian dalam ucapan di Majlis Pemasyhuran Sarawak Delta Geopark sebagai Geopark Kebangsaan yang ke-6 di Kampung Budaya Sarawak di Santubong hari ini.

Majlis telah disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sarawak Delta Geopark telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang baharu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan pada 20 Jun 2022.

Ia merupakan Geopark Kebangsaan yang Ke-6 bersama dengan lima Geopark Kebangsaan yang lain iaitu Geopark Lembah Kinta dan Geopark Lenggong (kedua-dua di Perak), Geopark Jerai di Kedah, Geopark Kinabalu di Sabah dan Geopark Labuan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Tambah Takiyuddin, setakat ini terdapat dua Geopark yang telah diiktiraf oleh UNESCO iatu Langkawi.

Manakala Kinabalu Geopark telah mendapat green card semasa ‘Mesyuarat 7th Session of the UGG Council (UGGC)’ yang telah diadakan di Satun UNESCO Global Geopark Thailand pada 4-5 September 2022.

Menurut beliau lagi, konsep geopark ialah sebuah wilayah umumnya di daerah luar bandar yang memiliki warisan alam istimewa.

Katanya, kawasan ini perlu diurus secara bersama bagi memastikan sumber warisan unggul terpulihara, komuniti setempat disejahterakan, dan peluang pembangunan ekonomi ditingkatkan.

“Pengiktirafan SDGp sebagai Geopark Kebangsaan merupakan satu lagi pencapaian negara dalam usaha pemeliharaan kelestarian alam semula jadi dan pengurusan mampan kawasan berkepentingan kebangsaan yang memiliki nilai geotapak luar biasa,” ujar Takiyuddin. — DayakDaily