Sarawak capai status negeri tua pada 2028 — Fatimah

Dato Sri Fatimah Abdullah

KUCHING, 1 Okt: Sarawak akan mencapai status negeri tua pada tahun 2028, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.

Menurut Fatimah, ia adalah berdasarkan kajian oleh Institut Penuaan Malaysia di mana Sarawak mencapai status tersebut 2 tahun awal dari negeri-negeri lain.

“Berdasarkan kajian, jangkaan seluruh Malaysia akan mencapai status wilayah tua pada 2030.


“Bagi Sarawak kita akan mencapai status tersebut tersebut 2 tahun lebih awal dari negeri-negeri lain,” katanya dalam ucapan di Sambutan Hari Warga Emas yang diadakan di Bintulu hari ini.

Jelas Fatimah, faktor penyumbang ialah disebabkan jangka hayat penduduk Sarawak lebih panjang daripada penduduk di negeri lain.

Namun katanya, kadar kelahiran setiap tahun bagi Sarawak adalah rendah dan merupakan punca populasi penduduk negeri ini rendah.

“Menerusi Endowment Fund Sarawak (EFS), pada tahun 2019 kita menjangkakan jumlah kelahiran adalah 40,000 tetapi jumlah sebenar kurang.

“Kemudian pada tahun 2020 kadar kelahiran juga kurang, dan begitu juga bagi tahun 2021 dan tahun ini.

“Kadar kelahiran semakin kurang pada setiap tahun. Dengan kombinasi itu Sarawak capai status negeri tua pada 2028,” katanya.

Tambah Fatimah, berdasarkan Jabatan Perangkaan, sejumlah 15.3 peratus penduduk negeri ini adalah dalam kategori warga emas.

Bersempena dengan Sambutan Hari Warga Emas itu, Sarawak berjaya merekodkan penyertaan fizikal dan maya terbanyak dengan 3,757 peserta bagi acara senamrobik yang diadakan pagi tadi.

Penyertaan bagi acara tersebut membolehkannya dimasukkan dalam Malaysian Book of Recor. — DayakDaily