Sarawak cadang SMK Demak Baru sebagai Sekolah Sukan Malaysia

Dr Annuar Rapa'ee pada persidangan DUN hari ini

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 10 NOV: Sarawak bercadang menaik taraf Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Demak Baru di Kuching sebagai Sekolah Sukan
Malaysia(SSM).

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee berkata, cadangan dibuat menerusi Kementerian Belia dan
Sukan(KBS) Sarawak kepada Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM).


“Ini adalah kerana SMK Demak Baru terletak berhampiran beberapa fasiliti sukan, antaranya ialah Stadium Negeri, Pusat Akuatik
Pandelela Rinong dan Akademi Memanah Tertutup Kuching.

“Untuk membina atau menaik taraf sesebuah sekolah menjadi Sekolah Sukan Negeri(SSN) mahupun SSM kelulusan daripada KPM harus diperolehi terlebih dahulu,’ katanya.

Dr Annuar berkata demikian sebagai menjawab soalan ADUN Batu Lintang See Chee How pada Persidangan Dewan Undangan Negeri(DUN) hari ini.

Beliau yang juga ADUN Nangka menambah, sudah tiba masanya Sarawak memiliki SSM kerana negeri ini telah melahirkan ramai jaguh sukan
bertaraf dunia.

Namun katanya, setakat ini KPM masih belum memberi jawapan kepada cadangan tersebut.

Beliau berkata, setakat ini terdapat lima SSM di seluruh negara iaitu di Sabah, Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur dan Johor, manakala di Perlis sedang dalam proses pembinaan.

“Pelajar SSM berpeluang menikmati fasiliti seperti makmal Sains Sukan, gimnasium yang lebih baik dan jadual latihan yang fleksibel.

“Jurulatih di SSM juga lebih ramai sedangkan di SSN, kuotanya hanya empat orang dan tidak ada pakar fisioterapi dan pakar pemakanan,” kata Dr Annuar.

Di samping itu jelas beliau, pelajar SSM berpeluang beraksi dalam kejohanan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Dalam pada itu, Dr Annuar memaklumkan bahawa tiada perancangan untuk menaik taraf SMK Tabuan Jaya menjadi SSM.

Namun katanya, KBS Sarawak berkolaborasi dengan pelbagai agensi sukan akan membantu sekolah berkenaan dari segi pembangunan kejurulatihan dan latihan pelajar. – DayakDaily