Pemandu lori maut dalam nahas di Jalan Tatau-Bintulu

Keadaan bahagian hadapan lori yang dipandu mangsa remuk akibat rempuhan tesebut.

BINTULU, 10 Nov: Seorang pemandu lori terbunuh selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Kilometer 11 Jalan Tatau-Bintulu hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa dikenali sebagai Indit Lunyong, 54, beralamatkan dari Rumah Jina Batu 7 Jalan Bintulu-Miri.

Beliau memberitahu, mangsa semasa kejadian memandu sebuah lori jenis tanker dari arah Bintulu menuju ke Pekan Tatau iaitu sekitar jam 11.20 pagi.


“Setiba di lokasi kejadian, dipercayai sebuah lori yang datang dari arah Pekan Tatau menuju Bintulu telah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan lori yang dipandu mangsa.

“Ekoran itu, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala serta bandannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa pegawai perubatan dari Klinik Tatau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keadaan sebuah lagi lori yang dipercayai hilang kawalan sehingga merempuh lori yang dipandu mangsa yang maut.

Tambahnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Rumah Mayat Hospital Bintulu untuk tindakan selanjutnya.

“Manakala tiga individu iaitu pemandu dan penumpang sebuah lagi lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,”katanya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily