Sarawak beri elaun tambahan kepada tenaga pengajar PDK, Abang Johari

Abang Johari(dua dari kiri) menyampaikan anugerah platinum kepada Minah Tambi yang merupakan penjual ayam segar

KUCHING, 30 SEPTEMBER: Kerajaan Negeri setuju menyediakan peruntukan tambahan kepada elaun petugas dan penyelia di 55 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti(PDK) di seluruh Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan tambahan itu akan dilaksanakan secepat mungkin.

“Kita laksanakannya secepat mungkin kerana tenaga pengajar di PDK memiliki kemahiran khas dan kini mereka tidak ramai.

“Jumlah peratusan tambahan kita akan bincangkan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Usahawan Mikro Kebajikan 2020 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Peruntukan tambahan itu melibatkan sejumlah 297 petugas dan 55 penyelia yang memberi pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial Orang Kurang Upaya(OKU) kepada 2,084 pelatih.

Bagi permohonan lain oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah, beliau berkata ia akan dipertimbangkan di dalam bajet negeri.

Permohonan melibatkan pertukaran status pelantikan therapist Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak(JKMS), penambahan bilangan pegawai dan kakitangan JKMS dan kuantum bantuan penerima bantuan bulanan kebajikan.

“Tiga permintaan ini kita akan pertimbangkan di dalam bajet negeri kerana ia melibatkan terma pengajian pekerjaan.

“Ia juga melibatkan implikasi kewangan,” katanya.

Pada majlis itu, Abang Johari turut menyampaikan anugerah kepada 12 UMK yang telah mencapai jualan tertinggi.

Daripada jumlah tersebut terdapat 2 orang pemenang anugerah Platinum dengan jualan melebihi RM 300,000 setahun manakala seorang pemenang anugerah kategori Diamond dengan pendapatan jualan diantara RM 150,000 sehingga RM 300,000 setahun.

Tujuh orang pula pemenang anugerah kategori Silver dengan pendapatan jualan diantara RM 50,000 sehingga RM 100,000 setahun dan 2 orang UMK yang memiliki jualan tertinggi dalam kategori Bronze dengan jualan dibawah RM 50,000 setahun.-DayakDaily.