Sarawak bergerak pantas menjadi negeri maju berpendapatan tinggi – Abang Johari

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 8 Okt: Sarawak bergerak pantas untuk mengejar visi menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia dilaksanakan dengan pengenalan ekonomi digital yang berteraskan data dan inovasi.

Advertisement

“Sekarang ini Sarawak sedang melaksanakan pembangunan infrastruktur secara besar-besaran untuk memudahkan aktiviti ekonomi dan pelaburan.

“Tanpa jaringan jalan raya yang baik dan efisyen ekonomi negeri ini tidak akan bergerak sepantas yang diinginkan,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Perayaan Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang ke-86 di Stadium Miri hari ini.

Menurut Abang Johari, pembangunan infrastruktur memerlukan kos yang besar dan kaedah biasa melalui bajet tahunan tidak akan mampu membiayai kos membina jalan raya dan jambatan yang tinggi.

Namun katanya, melalui penubuhan Bank Pembangunan Sarawak, Kerajaan dapat melaksanakan program untuk menyediakan infrastrukutur yang begitu penting untuk memacu aktiviti ekonomi negeri ini.

“Aktiviti pelaburan juga bergantung kepada keupayaan negeri ini menyediakan tarif elektrik yang kompetitif di rantau ini.

“Dengan mengambil alih hidro Bakun daripada Kerajaan Persekutuan pada 2018, Sarawak mempunyai kuasa penuh terhadap penjanaan elektrik dan juga kuasa untuk menentukan tarif elektrik,” ujarnya.

Sementara itu, Abang Johari yakin pembangunan Bahagian Miri akan terus melonjak dengan peningkatan aktiviti industri minyak dan gas.

Jelas beliau, syarikat Shell yang sudah lama meninggalkan Miri kini kembali dan pastikan akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi di bandar ini.

“Rizab minyak di daratan masih terdapat di sekitar Bahagian Miri terutamanya di Selatan Marudi yang akan diusahakan oleh Sarawak sendiri berdasarkan kuasa negeri ini di bawah OMO 1958.

“Manakala, kawasan Hulu Baram yang kaya dengan flora dan fauna dan kawasan tanah tinggi yang sesuai untuk tanaman iklim sejuk merupakan potensi yang harus dibangunkan untuk mengangkat status ekonomi di Bahagian Miri keseluruhannya,” katanya.

Mengimbau kembali era kepimpinan Tun Taib, beliau berkata ia dilihat dari sudut kejayaan membangunkan zon-zon perindustrian seperti Samajaya dan Samalaju yang menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat Sarawak, khususnya golongan belia.

“Visi Tun Taib membawa Sarawak ke era yang moden melalui program pembangunan perindustrian di bawah Sarawak Corridor of Renewable Energy.

“Ini telah membuka ruang dan laluan untuk Sarawak membangunkan dan menwujudkan nilai tambah kepada sumber airnya yang begitu banyak untuk menghasilkan tenaga yang diperlukan oleh industri. — DayakDaily

Advertisement