Sarawak belanja RM1.45 bilion bantu rakyat setakat ini: Abdullah Saidol

Abdullah Saidol
Advertisement

KUCHING, 9 MEI: Kerajaan Negeri setakat ini telah mengeluarkan pembelanjaan dalam anggaran RM1.45 bilion kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) akibat penularan wabak Covid-19.

Menurut Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Abdullah Saidol, perbelanjaan tersebut dikeluarkan dalam bentuk insentif kepada setiap individu anak Sarawak yang layak untuk meringankan beban mereka yang terjejas.

“Sejak dari hari pertama PKP dikuatkuasakan, ketua menteri telah memberi petunjuk bahawa kerajaan negeri bersedia untuk memberi bantuan,kepada seramai dan sebanyak yang boleh, setakat yang mampu ditanggung oleh kerajaan negeri.

Advertisement

“Ketua menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) untuk kali ketiga kelmarin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Abdullah, jumlah ini (RM1.45 bilion) tidak termasuk kos sebanyak RM16.4 juta untuk Skim Bantuan Makanan.

Katanya, kerajaan negeri juga bersedia untuk kehilangan pendapatan sebanyak lebih kurang RM16 juta menerusi pelbagai pengurangan bayaran seperti diskaun bil air dan elektrik selama enam bulan, diskaun ke atas cukai tanah.

“Secara keseluruhannya, kerajaan negeri Sarawak tanpa mengguna dana simpanan terbukti mampu menjalankan tanggungjawab sebagai penyumbang utama pelbagai bantuan kalau dibanding dengan negeri-negeri lain,” katanya.

Mengulas lanjut ADUN Semop itu berkata, rakyat serta sektor niaga yang terjejas sudah tentu akan mengharap kerajaan Negeri atau Persekutuan untuk cepat merangka pelbagai pakej bantuan.

“Dalam konteks negara kita, secara tidak langsung bencana ini menguji samada sesebuah negeri itu mempunyai pengurusan serta kawalan sistem kewangan atau ekonomi yang kukuh dan cekap.

“Negeri yang sistem kewangan dan ekonomi diurus dengan bijak sudah tentu mampu untuk menyerap tekanan perbelanjaan yang besar dalam suasana bencana seperti yang sedang kita hadapi sekarang ini,” ujar Abdullah.

Dalam pada itu, bantuan untuk warga media menerusi BKSS 3.0 katanya adalah sebagai perhargaan di atas jasa dan pengorbanan mereka sebagai penyalur maklumat dan berita utama kepada rakyat.

Beliau percaya dalam keadaan genting sebegini, maklumat terkini, tepat dan sahih amatlah penting pengetahuan rakyat.—DayakDaily.

Advertisement