Sarawak bantu Indonesia bangunkan kuasa hidro di Kalimantan – Abang Johari

Abang Johari tiba di ibu pejabat PBB di Kuching untuk melancarkan “Program Sarawak Kita Empun”.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 16 Feb: Sarawak akan bantu Indonesia membangunkan kuasa hidro di Kalimantan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ia adalah permintaan Presiden Indonesia Joko Widodo.


“Secara prinsipnya, presiden Jokowi meminta ia dilaksanakan. Minggu hadapan, saya bersama Menteri Utiliti (Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom) akan ke Jakarta untuk berbincang perkara-perkara berhubung kerjasama ini,” katanya ketika ditemui pemberita di ibu pejabat PBB di sini hari ini.

Terdahulu beliau telah melancarkan “Program Sarawak Kita Empun” anjuran Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita PBB Sarawak.

Pada ucapannya, Abang Johari berkata Indonesia meminta bantuan kerana Sarawak memiliki kepakaran di dalam bidang kuasa hidro.

“Kita akan bersama Indonesia membangunkan kuasa hidro di Kalimantan. Ini bermakna kita ada kepentingan berkaitan grid elektrik di seluruh Pulau Borneo,” katanya. — DayakDaily