Sarawak bakal menjadi hab petrokimia serantau: Awang Tengah

Awang Tengah (lima dari kiri) merakam kenangan bersama peserta-peserta persidangan.

Chris Bishop

KUCHING, Sept 30: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yakin Sarawak akan menjadi hab petrokimia serantau.

Katanya, polisi baharu Kerajaan Negeri yang menggalakan perkembangan industri hiliran berkaitan minyak dan gas akan membantu mencapai usaha tersebut.


“Sarawak memiliki 54 peratus rizab gas asli dan 29 peratus rizab minyak di negara ini.

“Kebanyakan sumber asli ini diekspot sebagai minyak mentah dan gas cecair asli dan ini tidak akan kekal untuk jangka masa panjang.

“Kita harus melibatkan diri di dalam industri hiliran selain memberi nilai tambah kepada industri,” katanya.

Awang Tengah berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Pelaburan dan Perdagangan Sarawak 2019 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Tambah beliau, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan yang sebarang penemuan baharu sumber gas, 40 hingga 50 peratus harus disimpan untuk membangunkan industri hiliran di negeri ini.

Disamping itu, Awang Tengah berkata Sarawak berusaha untuk menarik pelaburan dari dalam dan luar negara berkaitan industri petrokimia.

“Oleh kerana kita memiliki sumber asli yang banyak dan industri berkaitan pun sedang berkembang dengan pesat, beberapa buah syarikat berminat untuk melabur.

“Namun pada masa sekarang masih di peringkat awal tetapi kita berharap ia dapat dilaksanakan,” ujar beliau.

Turut hadir di persidangan tersebut Presiden Persekutuan Perdagangan Sarawak Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg. — DayakDaily